Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO) adalah sebuah agensi kerajaan di Malaysia yang bertanggungjawab menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di sektor formal dan sektor bukan formal melalui skim-skim keselamatan sosial. Matlamat PERKESO adalah untuk melindungi pekerja daripada risiko kemalangan pekerjaan, penyakit akibat pekerjaan, kehilangan pekerjaan dan ketidakupayaan yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.
Peranan PERKESO
- Mentadbir dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022;
- Mengurus dan melaksanakan skim perlindungan keselamatan sosial yang diperuntukkan di bawah ke empat-empat Akta;
- Memastikan dana keselamatan sosial sentiasa mapan dan kukuh bagi memastikan kelestarian pengoperasian;
- Mempromosikan kesedaran perlindungan keselamatan sosial dan pengurusan risiko yang baik menerusi program pencegahan, keselamatan dan pemulihan yang berimpak tinggi kepada semua golongan masyarakat;
- Memperluaskan jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan sejagat untuk meningkatkan kesedaran keterangkuman kewangan (financial inclusiveness) dan kesejahteraan pelanggan;
- Menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan efisien melangkaui ekspektasi pelanggan selaras dengan konsep 'prihatin' selaku pengamal keselamatan sosial menerusi pendigitalan pengoperasian
Misi PERKESO
Memberi perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif demi kesejahteraan sosial semua sepanjang hayat.
Untuk memudahkan pemahaman dan akses kepada perlindungan yang disediakan, PERKESO memperkenalkan jenama baru iaitu Lindung yang merangkumi beberapa produk perlindungan utama:
- Lindung Pekerja - Skim Perlindungan PERKESO kepada pekerja formal (Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969)
- Lindung Kerjaya - Sistem Insurans Pekerjaan (Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017)
- Lindung Kendiri - Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017)
- Lindung Kasih - Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022)
